21/06/2013 -- Jangan Bandingkan Kualiti Guru Zaman Dahulu Dengan Sekarang:- DS Zambry
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menasihati masyarakat supaya tidak memandang rendah dengan kualiti guru-guru zaman sekarang.
Katanya, golongan guru pada masa ini pada hakikatnya terpaksa menempuh cabaran yang lebih besar jika dibandingkan dengan zaman sebelumnya.
Menurur Zambry, dengan peredaran teknologi yang begitu pesat ia sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada guru-guru untuk mencurahkan ilmu kepada anak murid masing-masing.
"Mungkin zaman dahulu kita tidak ada peralatan pelajaran yang canggih.
"Jangan pula kita lihat guru-guru hari ini kurang bagus jika dibandingkan dengan guru zaman dahulu.
"Ada pemikiran kononnya guru-guru zaman dahulu lebih baik terapi bagi saya pandangan seperti ini adalah tidak betul.
Menurut Zambry lagi, dengan adanya alam maya serta jaringan internet yang begitu pantas ia sebenarnya memberikan satu cabaran besar kepada guru-guru.
Malah beliau menambah, akibat daripada kepesatan teknologi golongan pendidik kadangkala keliru dengan lambakan maklumat yang ada di internet.
"Disebabkan terlalu mudah dan banyak maklumat ia menyebabkan guru-guru sukar untuk memilih maklumat mana yang tepat.
"Ia menjadi satu cabaran apabila bagaimana kita nak tentukan maklumat yang betul.
Justeru, atas dasar itu Zambry merasakan masyarakat perlu sedar akan tanggungjawab guru pada masa kini yang jauh lebih besar dan mencabar.
Katanya, ibu bapa harus bersama-sama memberi dokongan kepada guru-guru dalam membantu mencurahkan ilmu kepada anak masing-masing.
Terdahulu, Zambry ditemui ketika menghadiri Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Manjung, semalam.
![](https://i.ytimg.com/vi/3p83p87nFzs/mqdefault.jpg)