Hutan Simpan Kekal Negeri Pahang yang berkeluasan 1.6 juta hektar amat penting untuk ekosistem negara khususnya sebagai kawasan tadahan air.
Tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara Hutan Simpan Kekal ini digalas oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dibawah kelolaan Pengarahnya, Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin.
Namun pada 18 Disember 2021, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang diarahkan untuk menyiasat punca bencana banjir puing sehingga menyebabkan ratusan pokok hanyut di Sungai Telemong yang dikaitkan dengan kegiatan pembalakan haram.
Berikutan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sentiasa melakukan pemantauan udara secara berkala bagi memastikan biodiversiti Hutan Simpan Kekal terus terpelihara.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga melakukan rondaan di darat secara rutin menerusi pelbagai operasi bagi mengekang aktiviti pencerobohan dan penerokaan hutan simpan kekal seperti kegiatan pembalakan dan pembukaan kawasan tanaman secara haram.
Ops Pamah dilaksanakan pada tahun lalu selama sebulan dengan penglibatan lebih 200 anggota penguatkuasa untuk melakukan kerja-kerja penebangan pokok durian yang ditanam di kawasan larangan.
Terbaharu, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang berjaya menahan tiga individu warga asing yang melakukan kegiatan pembalakan haram di Hutan Simpan Batu Talam, Raub.
Kesemua tertuduh itu dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan ekoran melakukan kesalahan dibawah Seksyen 32 (1) Enakmen Perhutanan Negara, Negeri-Negeri Malaysia 1986.
Manakala kenderaan dan peralatan yang digunakan mereka untuk melakukan kegiatan pembalakan haram seperti jentolak dan lori ‘santaiwong’ disita untuk tindakan lanjut.
Selain itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang turut melakukan pemeriksaan ke atas pas pemindah dan tanda tukul hasil pada kayu yang di bawa oleh para pemandu lori bagi memastikan muatan hasil hutan itu sah di sisi undang-undang.
Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang melancarkan kempen penanaman 100 juta pokok termasuk Meranti Temak Nipis bagi menghijaukan kembali Hutan Simpan Kekal yang diceroboh tersebut.
Proses restorasi turut dilakukan di Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini yang berkeluasan 5,026 hektar bagi memelihara kelestarian tasik air tawar itu.
Dato’ Dr. Mohd Hizamri juga menyeru agar masyarakat menjadi mata dan telinga kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan haram yang mengancam flora dan fauna.
Individu yang mengambil Hasil Hutan Simpan Kekal tanpa lesen sah boleh didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM500,000, jika sabit kesalahan.
![](https://i.ytimg.com/vi/8VNmRzPwKSc/maxresdefault.jpg)