Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan sabitan dan hukuman kes liwat yang dihadapinya.
Keputusan itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Panel hakim sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan semakan berkenaan mengikut aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mempunyai sebarang merit.
Mahkamah turut memutuskan pada peringkat ini tiada bidang kuasa untuk menentukan semua perkara yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar dalam permohonan semakan itu membabitkan integriti sampel, penyalahgunaan proses mahkamah dan dakwaan konspirasi dalam pertuduhan ke atasnya.
Dengan keputusan itu, Datuk Seri Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selama setahun 10 bulan perlu menghabiskan baki hukuman penjara lima tahun yang diperintahkan ke atasnya.
Turut bersidang pada prosiding itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Datuk Seri Anwar memohon semakan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadapnya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Selain itu, secara alternatif beliau memohon Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuan itu berdasarkan kepada merit.
Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang mensabitkan Datuk Seri Anwar dan memerintahkannya dipenjara lima tahun.
Ещё видео!