Semerah Padi merupakan sebuah filem Malayu yang diterbitkan di Tanah Malayu pada 14 Julai 1956. Filem yang diarahkan oleh P. Ramlee ini telah mengetengahkan hukum Islam berdasarkan Al-Quran melalui penceritaannya. Latar belakang filem ini berkonsepkan kehidupan masyarakat Malayu tradisional serta mempunyai pemahaman agama yang tinggi.
Filem ini juga dikatakan yang terbaik pernah diarahkan serta dilakonkan oleh P. Ramlee. 2 sahabat akrab, Aduka (P. Ramlee) dan Teruna (Nordin Ahmad) ditugaskan mentadbir kampong Semerah Padi berpandukan aspek-aspek keislaman. Dara (Saadiah), anak ketua kampong mempunyai hubungan cinta dengan Aduka tetapi ditunangkan kepada Teruna. Dara merahsiakan hubungan mereka supaya tidak durhaka kepada ayahnya dan Aduka, supaya tidak menyakiti sahabat akrabnya.
Di malam hari keramaian, penduduk kampong digemparkan dengan kematian Kachiwa. Atas arahan Tok Penghulu untuk keamanan kampong, Aduka dan Teruna berjaya menangkap Jejaka (A. Rahim) dan Galak (Normadiah) kerana telah berzina. Galak seorang janda yang kematian suaminya, Kachiwa. Jejaka telah membunuh Kachiwa. Mereka berdua didapati bersalah dan dihukum sula sebelum subuh menjelang tiba. Peristiwa ini telah disaksikan oleh salah seorang orang suruhan Borek. Borek mula memasang niat membalas dendam ke atas Semerah Padi di atas kematian adiknya, Jejaka.
Percubaan Borek dan kuncu-kuncunya buat kali pertama berjaya menghuru harakan kampong Semerah Padi. Banyak jiwa manusia yang terkorban dan rumah rumah telah dibakar. Aduka, Teruna dan orang orang kampong bekerjasama untuk melawan serangan musuh. Akhirnya 4 orang kuncu Borek, (Kemat Hassan, Shariff Dol, Ahmad C dan Omar Suwita) telah ditangkap dan dihukum bunuh sebelum subuh menjelang tiba.
Negeri dilanda lanun dan Teruna serta 9 orang pahlawan Semerah Padi dikerah oleh ketua kampong untuk berkhidmat dengan Baginda Sultan. Aduka pula ditugaskan untuk menjaga keamanan kampong Semerah Padi. Setelah satu purnama berlalu, Semerah Padi sekali lagi diserang oleh Borek (Salleh Kamil) dan dia berjaya menculik Dara. Aduka pergi menyelamatkannya. Borek berjaya dibunuh.
Hujan lebat membasahi bumi Semerah Padi, cinta membawa kecundang bila nafsu mengatasi segalanya. Dara tetap memujuk rayu Aduka, Aduka tetap tidak mempedulikan godaan si Dara. Akhirnya, Aduka dan Dara terlanjur berzina. Keesokkan harinya, Teruna dan rakan rakannya telah kembali ke Semerah Padi dan dianugerahkan sebidang tanah setiap seorang untuk tujuan bercucuk tanam. Aduka telah mengaku kesalahannya di hadapan Teruna dan kedua dua orang tuanya. Teruna sungguh kecewa. Teruna mengarahkan agar Aduka meninggalkan Semerah Padi keesokkan harinya.
Teruna berjumpa Tok Penghulu untuk mempercepatkan nikah antara Dara dan Aduka. Keluarga Teruna pula memutuskan tali pertunangan antara Teruna dan Dara. Tok Penghulu kebingungan, Dara dan Aduka mengaku kesalahan di hadapan Tok Penghulu. Tok Penghulu sangat kecewa dan menjatuhkan hukuman sebat 100 kali keatas tubuh Aduka dan Dara mengikut perintah dari Al-Quran. Kedua-duanya selamat selepas hukuman selesai. Teruna tidak berdendam dengan Aduka. Aduka akhirnya bernikah dengan Dara setelah kedua duanya kembali sihat walafiat.
DIBINTANGI:
Nordin Ahmad sebagai Teruna
Saadiah sebagai Dara
P. Ramlee sebagai Aduka
Musalmah sebaga Ibu Dara
Daeng Idris sebagai Penghulu Hitam (Ayah Dara)
Saamah sebagai Ibu Aduka
Zainon Fiji sebagai Ibu Teruna
Ali Fiji
Malek Sutan Muda sebagai Ayah Teruna
Salleh Kamil sebagai Borek
Normadiah sebagai Galak
A. Rahim sebagai Jejaka
Shariff Dol
Kemat Hassan
Ahmad C
Lagu2♫
Semerah Padi oleh P. Ramlee & beramai-beramai
Makan Sireh di Semerah Padi oleh P. Ramlee
Sekapur Sireh Seulas Pinang oleh Saloma
Putus Kasih di Semerah Padi oleh Momo Latif
Lenggang Kangkong Baru oleh Saloma, menampilkan Hashimah Yon sebagai penari undangan.
Penyusun lagu - P. Ramlee
Lirik - Jamil Sulong
Skor muzik - Fred Libio
Muzik iringan - Malay Film Productions Studio Orchestra
![](https://i.ytimg.com/vi/RvRghRahOHQ/maxresdefault.jpg)