KERAJAAN NEGERI SARAWAK GIGIH PERKASAKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR
Kegigihan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan luar bandar telah terbukti dengan wujudnya pembangunan luar bandar melalui Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP).
Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol, langkah proaktif seperti RTP dilakukan kerana proses kelulusan peruntukan untuk projek kecil dan sederhana daripada Kerajaan Persekutuan adakalanya lambat, malah tidak mencukupi.
Tambahnya lagi, keadaan tersebut bertambah sukar apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan telah membatalkan beberapa projek atau peruntukan yang telah diluluskan oleh pentadbiran kerajaan persekutuan yang terdahulu.
Justeru, beliau turut mengakui bahawa RTP yang telah diwujudkan banyak membantu untuk mempercepatkan pelaksanaan projek keperluan asas di luar bandar, naik taraf jalan kampung dan pembinaan dewan – dewan masyarakat yang baharu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, selain RTP, peruntukan besar yang disediakan Sarawak dalam Belanjawan Negeri lepas membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memperkasakan pembangunan luar bandar.
(sumber: fb jiwa bakti)
2) LUBOK ANTU BAKAL JADI TARIKAN PELANCONG
Lubok Antu yang terkenal dengan Empangan Hidro Batang Ai sememangnya mempunyai kawasan sekitar yang cantik.
Ianya dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dijadikan destinasi eko pelancongan utama yang ada di Sarawak.
Empangan tersebut yang telah beroperasi sejak 1983 memiliki pusat peranginan dan hotel yang turut menjadi tarikan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pihaknya telah merancang untuk membangunkan kawasan tersebut dan dijadikan sebagai destinasi untuk menganjurkan sukan air.
Justeru, beliau mencadangkan agar rakyat di Lubok Antu bekerjasama dalam mengusahakan sektor eko pelancongan bagi meningkatkan kegiatan pelancongan dan keusahawanan di kawasan tersebut sekaligus dapat melonjakkan lagi ekonomi.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Batang Ai 2019 dan ‘Batang Ai Kitchen di Pentas MDLA, Pangkalan Batang Ai pada Sabtu.
(sumber: sarawakvoice)
3) KONGSI MAKLUMAT, AGENDA WARISAN PINTAR OLD KUCHING BUKAN SEKADAR HIBURAN
Agenda Warisan Pintar Old Kuching yang bermula pada hari ini, bukan sahaja diadakan bagi tujuan hiburan, bahkan pengunjung juga turut berpeluang untuk mendapatkan pelbagai maklumat melalui perkongsian daripada beberapa agensi yang mengambil bahagian.
Perkongsian ini yang dikenali sebagai Speakers Corner merupakan anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Yayasan Sarawak yang akan mengupas dan berkongsi maklumat mengenai pelbagai aspek.
Justeru, orang awam dijemput untuk menghadirkan diri pada sesi perkongsian tersebut pada hari ini hingga 31 Mac bermula pada jam 10 pagi hingga 4 petang bertempat di Tingkat 1, Bangunan Square Tower (Restoran Magenta), Tebingan Kuching.
#tvsarawak
Ещё видео!