KUALA LUMPUR – Saat menjadi raja sehari merupakan detik yang cukup indah bagi pasangan yang melangkah ke alam rumah tangga.
Namun di sebalik keceriaan sambutan menjadi raja sehari, pasangan pengantin juga sebenarnya perlu berdepan cabaran budaya dan adat yang berbeza bagi setiap negeri-negeri di Malaysia.
Di Pahang misalnya, pasangan pengantin 'dibuli' dengan kerja berat apabila perlu membasuh periuk belanga selepas majlis kenduri selesai.
Melaka yang penuh dengan resam turun-temurun terkenal dengan adat menyimbah air kepada pasangan pengantin dan para tetamu.
Tular sebuah video yang memaparkan beberapa orang disimbah dengan air sehingga lencun satu badan ketika duduk di bawah khemah mencuit hati orang ramai yang tidak meyedari bahawa ia juga adat orang Melaka.
Video yang dimuat naik di TikTok Fizakecik92 berjaya menarik lebih sejuta tontonan sejak beberapa hari lalu.
Pada video itu pemilik akaun mencatat kapsyen; "Aktiviti wajib. Kuyup oiii. Lepas dia kuyup ini terpaksa lah basuh pinggan kat belakang ya."
Dalam video itu memaparkan seorang budak lelaki menyiram air ke atas seorang wanita yang mulanya menunjukkan reaksi geram bercampur marah, namun ia bertukar ceria mengetahui tujuannya.
Tindakan menyiram air rupa-rupanya adat dilakukan setiap kali kenduri kahwin kerana ada yang bakal terpilih untuk menjadi pencuci pinggan kotor sewaktu kenduri berkenaan.
Video tersebut menerima lebih 40,000 tanda suka, sebanyak 1,041 perkongsian dan hampir 1,000 komen menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
Pemilik akaun, Fiza gembira dengan pelbagai maklum balas daripada rakan TikToknya sehingga tidak sempat membalas setiap komen yang diberikan.
"Wah, meriah komen masuk. Tidak dapat nak balas satu-satu. Kami orang Melaka.
"Orang luar kalau kahwin dengan orang Melaka, boleh bersedia. Jangan pelik kalau kena macam ini," ujarnya.
Seorang pengguna, Mohammad Amin pula teringat ketika majlis kahwin satu ketika dahulu yang diadakan secara gotong-royong.
"Ingat zaman gotong-royong kenduri kahwin. Pengantin kena basuh kuali dan periuk besar. Habis hitam pengantin. Sengaja hitamkan kuali dan periuk," ujar beliau.
Pengguna yang dikenali sebagai Ve007 pula mengimbas apabila seluruh badan disimbah dengan air.
"Teringat bila badan kena simbah satu baldi. Sudah tidak boleh nak lari ke mana. Hadap je lah. Ini adat orang Melaka. Kenangan tahun 1991," ujarnya.
Mak Alang Ani pula mengimbau kenangan sama yang mengembirakan apabila teringat semula kenangan tersebut.
"Paling seronok bab ini. Dulu kami guna air sabun yang digunakan untuk cuci pinggan dan cawan.
"Selepas itu arang bontot kuali disapu dekat muka. Lari keliling rumah wei," ujarnya.
- BebasNews
Ещё видео!